Tuesday, March 23, 2010

USM HASIL PENYADUR KALIS UV


DR. SHAROM (kiri) menyembur Kit Penapisan Nano Sinar UV (Ultra Ungu) pada payung semasa membuat demonstrasi di USM, Pulau Pinang

Sekumpulan penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menghasilkan Kit Penapisan Nano Sinar Ultra Ungu (UV) yang menjadi penyebab utama kanser kulit dan kanser mata di dunia. Hasil penyelidikan selama lima tahun pensyarah Pusat Pengajian Sains Fizik USM, Dr. Sharom Mahmud berjaya membangunkan Kit Penapisan Nano ZT-UV yang pertama seumpamanya di dunia. Kit yang dibangunkan menerusi Geran Penyelidikan USM itu juga dinobatkan sebagai Produk Terbaik dan menerima Anugerah Pingat Emas di Pameran Malaysia Technology Expo 2010 yang berlansung di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

Menurut Sharom, hasil penyelidikannya mengenai partikel nano berjaya menemui kaedah termaju dan termurah membangunkan nano zinc oxide yang merupakan bahan terbaik bagi menghalang agen-agen sinar UV. Katanya, kit yang dihasilkan dengan kerjasama dua pensyarah dari Fakulti Kejuruteraan USM, Profesor Madya Dr. Hazizan Md. Akil dan Dr. Ong Hui Lin itu mampu memberi perlindungan 100 peratus daripada sinar UV. "Ujian makmal ke atas payung yang disembur dengan Nano ZT-UV menunjukkan penyerapan sinar UV amat hebat sehingga 0.1 peratus berbanding 2.3 peratus tanpa kit ini. "Bahan zinc oxide yang digunakan pula mempunyai ciri-ciri biologi yang selamat selain menepati piawaian keselamatan yang diiktiraf Agensi Keselamatan Kesihatan (FDA) dari Amerika Syarikat," katanya kepada pemberita di sini.

Sidang akhbar itu turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Ahmad Shukri Mustapa Kamal. Sharom memberitahu, kit berkenaan kini telah pun dihasilkan dalam bentuk aerosol dan dijangka memasuki pasaran dalam tempoh setahun lagi melalui kerjasama USM dengan rakan industri terpilih dengan jangkaan harga sekitar RM10 setin. "Kit ini merupakan inovasi termaju dan paling mudah serta praktikal bagi melindungi manusia daripada pancaran sinar UV secara langsung," jelasnya.

No comments:

Post a Comment