Tuesday, March 23, 2010

TINGKATKAN KUALITI KHIDMAT JALUR LEBAR UNTUK PENGGUNA


RAKYAT mampu mencapai tanda aras yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dalam mentransformasikan negara ke arah masyarakat berpengetahuan dan ekonomi berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020. Ia boleh dicapai menerusi usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan dalam memperluaskan rangkaian untuk menjamin capaian maklumat dan perkhidmatan yang lebih adil di seluruh negara. Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim berkata, kerajaan kini sedang menyusun semula spektrum jalur lebar berhubung penggunaan frekuensi. Apabila selesai kelak, ia bukan sahaja dapat memberi faedah kepada pemain besar (big player), malah kepada pemain sederhana dan pemain kecil. Menurutnya, dalam konteks itu, kerajaan akan melihat semula dana USB agar kemudahan menyeluruh dapat diberi kepada semua lapisan masyarakat sama ada di bandar, luar bandar atau pedalaman.

"Pelbagai aspek akan dilihat semula seperti kos, kelajuan, kualiti dan perkhidmatan yang akan menjadi satu penanda aras sebagai panduan kepada SKMM serta industri komunikasi dan multimedia tempatan dalam memastikan objektif dasar Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI) dicapai," katanya pada majlis Taklimat Mengenai Inisiatif Jalur Lebar Negara di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Taklimat itu disampaikan oleh pegawai kanan SKMM, Zamani Zakaria. Dalam taklimat itu, Rais memberitahu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan projek Inisiatif Jalur Lebar Negara dan Jalur Lebar Kelajuan Tinggi pada pukul 8.00 malam, 24 Mac ini (esok) di Dataran Merdeka. Pada majlis itu, Najib akan mengumumkan beberapa perkara penting berkaitan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) dan jalur lebar untuk orang awam. Menurutnya, orang awam yang dimaksudkan itu adalah mereka yang tinggal di bandar- bandar kecil, kawasan kampung, luar bandar dan pedalaman di seluruh negara. Beliau berkata, pengumuman itu penting bagi meningkatkan kefahaman rakyat terhadap persediaan dan pelaksanaan projek NBI terutama dalam aspek menyediakan perkhidmatan jalur lebar kepada penduduk di kawasan luar bandar. Pada majlis itu kelak, Najib akan mengumumkan persediaan-persediaan khidmat jalur lebar di kawasan luar bandar termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak.

Datuk Seri Rais Yatim juga berkata kerajaan tidak mahu timbul kritikan bahawa projek jalur lebar hanya disediakan untuk orang bandar sahaja, manakala orang susah di luar bandar terpinggir daripada menikmati kemudahan tersebut. Justeru, antara perkara yang akan diumumkan adalah persediaan dan pelaksanaan khidmat jalur lebar di bandar dan luar bandar. Terdapat dua jenis jalur lebar yang akan dilaksanakan iaitu jalur lebar untuk orang awam dan HSBB. Untuk HSBB, tahap kelajuan akan diukur semula agar ia dapat memberi kelapangan kepada sektor swasta sekali gus mampu menarik pelabur luar untuk membuat pelaburan di negara ini. Manakala jalur lebar untuk orang awam pula, perkhidmatan yang disediakan kelak lebih menjurus kepada persediaan asas sahaja iaitu menyediakan tahap kelajuan sederhana yang boleh memacu pendidikan dan ekonomi masyarakat," tambahnya. Mengulas lanjut, Datuk Seri Rais Yatim berkata, antara lain visi NBI adalah bertindak sebagai pembolehcara dan pelengkap kepada Model Ekonomi Baru (NEM) iaitu menyediakan infrastruktur bertaraf dunia untuk pembangunan aplikasi dan kandungan; akses kepada rangkaian generasi akan datang berasaskan Internet Protocol (IP) untuk Internet berkelajuan tinggi dan perkhidmatan baru serta mencapai 50 peratus penembusan jalur lebar isi rumah pada akhir tahun 2010 sekali gus menyumbang satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mewujudkan 135,000 peluang pekerjaan baru. NBI juga akan memacu ekonomi negara dan keperluan itu meliputi seluruh negara termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta kampung-kampung kecil di Semenanjung Malaysia.


No comments:

Post a Comment